Thursday, April 12, 2007

Pendirian al-Qaradhawi dalam beberapa Isu Umat Islam hari ini

Lamanweb rasmi Dr. Yusuf al-Qaradhawi http://al-qaradawi.net/ menyebut beberapa pendirian al-Qaradhawi berkenaan isu semasa umat Islam hari ini yang dilontarkannya dalam muktamar Institut al-Quds kelima yang diadakan di Algeria, 29/3/07.

Sebagai reaksinya terhadap sidang kemuncank Riyadh, al-Qaradhawi mengajukan risalah kepada pemimpin-pemimpin Arab yang mengambil bahagian di dalam persidangan tersebut supaya tidak mengambil sebarang langkah ke aras mengiktiraf hubungan dengan Israil, selama mana Israel tidak berundur dari bumi yang mereka takluk, dan mereka (israel) tidak menghalang dari terdirinya negara Palestin. al-Qaradhawi menjelaskan, terdapatnya sebahagian negara-negara Arab yang mahu mengiktiraf Israel, dan sebahagian yang lain tidak mahu menerimanya. Beliau menambah :


"kami tidak akan menerima pengiktirafan kepada Israel, melainkan setelah terdirinya negara Palestin yang sebenarnya, yang memiliki ruang udara sendiri dan batasan negaranya dan hak untuk mempertahankan diri. Hanya jika terlaksananya keadaan ini, barulah kami akan memikirkan pengiktirafan kepada Israel, itupun jika ada keperluan."


Ketika ditanya tentang pendiriannya terhadap keganasan bersenjata yang berlaku di Algeria dalam era 90an, al-Qaradhawi menegaskan bahawasanya dia berada atas pendirian yang sama, dan berkata : "Perkara pertama yang saya ingkari ialah penumpaham darah, dan saya telah menyeru kepada ikhwah yang masih berada di gunung-ganang untuk turun menyertai saudara-saudara mereka yang lain." al-Qaradhawi menegaskan juga, dia mengingkari dari berlakunya pembunuhan sesuatu bangsa sesama mereka, sambil menyebut : "Kita tidak berbunuhan melainkan kepada siapa yang memerangi kita, dan kita membuka tangan bertoleransi dan berbaik kepada sesiapa yang tidak memerangi kita disebabkan agama kita."


al-'Allamah al-Qaradhawi juga mengutuk kefahaman sebagian kumpulan terhadap al-Wasitiyah yang diserunya, yang menganggap ianya tasahul (bermudah-mudah) dalam agama, beliau menambah : "Bukanlah (seruan) al-Wasitiyah itu memudah-mudahkan agama, sebaliknya ia adalah tegas dalam perkara-perkara usul, dan wasitiyah (bersifat pertengahan) dalam perkara-perkara furu' (cabang)."


Dalam persoalan antara Ahl al-Sunnah dan Syiah al-Qaradhawi menyentuh isu perbezaan antara keduanya dan menegaskan bahawasanya : "Tidak mungkin untuk dihampirkan antara SUnnah dan SYiah, selama-mana, sebahagian mereka (Syiah) mencela para sahabat yang mulia, merekalah (sahabat) barisan awal yang mempertahankan Islam, merekalah yang menyampaikan dakwah dari Rasulullah saw, dan merekalah yang telah menyampaikan Sunnah Baginda saw."


Al-Qaradhawi juga memberi peringatan akan bahayanya penyebaran doktrin Syiah di sebahagian negara Ahl al-Sunnah, beliau menambah : “Negara Syiah dikekalkan sebagai negara Syiah dan negara Ahl al-Sunnah dikekalkan sebagai negara Ahlal-Sunnah.” Al-Qaradhawi memberi contoh beberapa negara Ahl al-Sunnah yang menjadi sasaran pengaruh Syiah seperti Algeria, Maghribi, Libya, Sudan dan Mesir sambil beliau memberi peringatan kepada imam-imam Syiah dari menyebarkan mazhab mereka pada perkara-perkara asas sunnah, sambil menambah : “Jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka saya sama sekali tidak akan senyap, saya akan memenagkan Sunnah Rasulullah saw, dan kami akan menjelaskan perkara-perkara yang sebenarnya.” Al-Qaradhawi juga menegaskan, kerja-kerja meluaskan mazhab masing-masing akan membawa pergeseran di kalangan mazhab-mazhab Islam, sedangkan sasaran kita ialah kesatuan ummah.


“Maka jika yang kita kehendaki ialah kesatuan dan bukan perpecahan, kita hendaklah membina kesatuan itu dan jangan kita menghancurkannya, maka jangan suatu mazhab menyerang asas-asas mazhab yang lain.”
------------------

Monday, December 18, 2006

Nabil Majdi Menulis

Tiada Seorang Pun Masuk Syurga Kerana Amalan Ibadahnya


“Dengan engkau kami tidak boleh mencapai (tujuan), Tetap perlu dengan engkau” inilah kata-kata Syeikh Abdul Qadir Jailani seorang ulamak Sufi yang terkenal. Kata-kata beliau ini dipetik oleh Imam Hadad didalam bukunya “An-Nasaih Ad-Diniah wal Wasaya Imaniah”.

Maksud daripada lafaz kata tersebut ialah kita sebagai manusia sebenarnya tidak boleh berpandangan bahawa kita masuk syurga kerana banyaknya amalan kita sedangkan hakikatnya kerana rahmat Allah sahajalah kita digolongkan golongan yang soleh dan dimasukkan kedalam syurga.

Namun demikian, ini tidaklah bermaksud kita bebas untuk tidak beribadat kepada Allah S.W.T dan sekadar menjadi orang yang berharap kepada rahmat Allah. Justeru itu dalam rangkap yang kedua ayat kata Syeikh Abdul Qadir Jailani beliau menegaskan bahawa untuk mencapai rahmat Allah kita perlu beribadat dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

Seburuk-buruk angan-angan dan pengharapan ialah mengimpikan keampunan dan keredhoan Allah sedangkan dirinya bermalas-malasan untuk melakukan ibadah kepada Allah. Dalam satu hadis ada dinyatakan:

“Empat petanda kerosakan hati: Keras hati, Kerasnya air mata, Berkira-kira, Panjang angan-angan”

Berdasarkan hadis tersebut jelaslah bahawa mereka yang mengharap rahmat Allah tanpa beramal adalah mereka yang rosak hatinya dan telah tertipu oleh perasaan mereka sendiri. Malah berhubung isu ini, Hassan al-Basri seorang tabiin yang dikenali sebagai ahli hadis, ahli feqah dan ahli tasawuf pernah melalui seorang pemuda yang sedang bermain-main dengan tanah sambil berangan-angan dengan kata-kata pengharapan semoga Allah memberikannya bidadari disyurga nanti. Lalu Hassan al-Basri mengkritik pemuda tersebut kerana tertipu dengan perasaan diri sendiri.

Merujuk kepada doa yang dipetik dari hadis Nabi Muhammad S.A.W:

“Wahai yang membolak balikkan hati, tetapkanlah kami atas Agamamu”

Hadis ini memberi gambaran bahawa hanya dengan rahmat Allah kita dapat kekal diatas agamanya dan memperoleh keredhoannya. Sebab hati ini milik Allah bila-bila masa sahaja hati kita yang putih boleh bertukar hitam dan yang hitam boleh bertukar menjadi putih.

Melalui kefahaman yang benar berhubung sebab kita dimasukkan syurga atau mendapat keredhoaan Allah maka akan terhapuslah perasaan ujub diri dengan ibadah yang kita lakukan. Setiap ibadah yang kita lakukan pula akan bertambah lagi kekhusyukan serta keikhlasannya keran sedar bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan ibadat untuk mendapat rahmat disisi Allah.

Membuang perasaan ujub terhadap ibadah yang kita lakukan adalah perkara yang amat penting kerana menurut Imam Al-Ghazali didalam kitabnya “Minhajul Abidin” antara faktor penyebab kematian “suu’l khotimah” ialah tertipu dengan amalan sendiri. Hanya mereka yang menyedari bahawa diri yang banyak beribadat bukanlah jaminan pengakhiran yang baik sahaja dapat membuangkan perasaan ujub ini.

Secebis lontaran pemikiran ulamak –ulamak ini saya lontarkan untuk-untuk sahabat-sahabat agar tidak berpuas hati dengan amalan yang kita lakukan.

Nabil Majdi Menulis

Syed Qutb: Mati Syahid atau Mati Bulghah

Dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja saya amat terkejut mendapat sms dari seorang adik pkpim bertanyakan samada Syed Qutb mati syahid atau mati bulghah. Lebih menggerunkan ialah tuduhan yang mengatakan bahawa aqidah Syed Qutb tentang sifat-sifat Allah adalah menyeleweng dan para ulamak salaf secara ijmak mencelanya.

Adik ini kemudian menyatakan bahawa persoalan ini sebenarnya timbul dari kenyataan seorang rakannya menerusi sms. Meneliti daripada kenyataan sms tersebut, amat jelas mereka yang mengatakan sedemikian adalah seseorang yang tidak arif tentang sejarah, tidak membaca dan tidak mengerti hukum.

Pertamanya perlu dimengerti apakah itu mati syahid dan apa itu bulghah. Mati syahid ialah mati menegakkan kalimah Allah manakala Bulghah pula ialah pemberontakan terhadap pemerintah. Menurut Islam para pemberontak wajar dihukum bunuh.
Namun demikian perlu difahami apakah maksud pemberontakan? Adakah menasihati pemerintah agar tunduk kepada hukum Islam tergolong daripada pemberontakan? Bukankah ada hadis berbunyi:

“Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaanNya,hendaklah kamu menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat, dan menegah orang yang zalim, ataupun Allah akan menurunkan azabNya keatas kamu”

Saya cuba menyemak taraf hadis ini namun saya tidak dapat namun demikian saya menjumpai 2 hadis yang mempunyai lafaz yang berbeza tetapi maksud yang sama. Salah satu hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Akan tetapi ini teidaklah bermaksud bahawa Islam memberikan kebebasan kepada orang yang zalim. Bahkan seluruh ulamak bersepakat bahawa pemimpin yang zalim perlu dinasihati.

Sesungguhnya, Islam tidak pernah membezakan status manusia berdasarkan darjat kedudukannya. Sekiranya kita bersetuju bahawa yang lemah perlu didakwah maka kita patut bersetuju bahawa yang kuat juga patut didakwah. Sekiranya kita bersetuju bahawa rakyat perlu didakwah maka pemerintah juga perlu didakwah. Mengapa perlu kita wujudkan “double standard” sehingga mereka yang menyatakan perkara yang hak dihadapan para pemerintah dianggap pemberontak.

Apatah lagi pemerintah itu sememangnya terkenal sebagai orang yang melampaui batas. Dalam peristiwa Syed Qutb, beliau terpaksa berhadapan dengan pemerintah pada masa itu iaitu Jamal Abd Nasir yang terkenal dengan pemerintahan kuku besi. Dia telah memenjarakan berpuluh ribu anggota Ikhwanul Muslimin.

Syed Qutb tidak pernah mengangkat senjata sehingga beliau begitu digeruni oleh Jamal Abd Nasir. Beliau sekadar menulis buku-buku tentang tasawur Islam yang sebenar. Antara buku yang menyebabkan beliau ditangkap ialah buku “Maa’lim fi Toriq”. Bacalah buku ini anda akan mendapati bahawa apa yang ingin disampaikan oleh Syed Qutb bukanlah cercaan kepada kerajaan sebaliknya hanya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar.

Buku beliau berkenaan tasawur Islam berhubung hakikat hidup didunia adalah amat bertepatan dalam menangani pandangan hidup sekular yang kian membarah dikalangan umat Islam pada masa itu. Islam pada masa itu, dilihat sebagai amalan ritual diatas tikar sejadah. Pandangan ini begitu dominan dalam masyarakat Islam pada masa itu.

Namun berkat ketegasan Syed Qutb menyatakan apa yang hak walaupun dicerca, dipenjara serta dibunuh, ialah hari ini banyak memberi kesedaran kepada umat Islam malah menyemarakkan lagi kebangkitan Islam contohnya Malaysia yang telah berubah menjadi sebuah negara yang lebih Islamik kesan daripada buku-buku beliau yang menjadi tatapan pemuda-pemudi Islam Malaysia sekitar tahun 70an. (Sila rujuk lebih lanjut dalam buku ”Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar” oleh ”Zainah Anwar” bagi mengetahui bagaimana pelajar-pelajar Islam tahun 70an berjuang)

Menurut buku ”An-Nasaih Ad-Diniah wa Al –wasaya Al-Imaniah” karangan Imam Habin Abdullah Hadad, mereka yang sanggup bersabar dengan segala bahaya yang datang kerana menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah petunjuk bahawa dia mencintai Allah dan amatlah besar baginya pahala dari sisi Allah kerana mengutamakan kepentingan agama berbanding kepentingan dirinya. Dalam ayat Allah ada menyebut:

”Perintahlah orang supaya berbuat baik dan larangilah ia daripada berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap apa yang menimpamu sesungguhnya yang demikian tu termasuk perintah yang sungguh-sungguh” Luqman:17

Jelas sekali berdasarkan dalil dan sejarah yang mengatakan tiada unsur –unsur yang melampau yang dilakukan oleh Syed Qutb adalah tidak wajar sekali mengatkan Syed Qutb mati kerana Bulghah..... bersambung.....

Sambungan Ke-2

Persoalan kedua yang menarik perhatian saya ialah kenyataan bhawa seluruh ulamak salaf mencela Syed Qutb dan tiada yang memujinya kerana pemahamannya yang salah berkenaan sifat Allah.

Baiklah, sebenarnya sesiapa yang mengatakan sedemikian beerti dia tidak memahami hakikat maksud "golongan salaf". Salaf ialah golongan yang hidup 300 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. Antara ulamak salaf yang terkenal ialah imam 4 mazhab iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie' dan Imam Hambali.

Manakala golongan kotemporeri yang mengiktirafi diri mereka sebagai "Salafiy" ialah golongan yang turut juga dikenali sebagai "Wahabiy". Mereka menisbatkan diri dengan golongan salaf yang lampau kerana mereka percaya bahawa jalan yang mereka lalui sepertimana ynag ditunjukkan oleh Imam Muhammad bin Abd Wahab adalah jalan yang diguna pakai oleh Ulamak Salaf yang terdahulu.

Persoalannya, apakah golongan ini sahaja yang layak digelar sebagai golongan "salafiy". Adakah mereka yang mengikuti Imam 4 mazhab bukan golongan salafiy. Sebenarnya mereka yang mengikut jalan Imam 4 mazhab adalah mengikut jalan para salaf dan mereka juga layak menisbatkan diri mereka sebagai golongan "salafiy"

Justeru itu, kenyataan sms yang menyatakan bahawa ulamak salaf semuanya mengutuk Syed Qutb adalah tidak benar, malah yang mengutuknya kebanyakannya adalah golongan "wahabiy" yang barangkali terlepas pandang terhadap kenyataan Syed Qutb didalam "Tafsir Fi Zilal".

Bacalah Tafsir Fi Zilal, sahabat-sahabt pasti akan mendapati bahawa Syed Qutb amat berhati-hati dalam menghuraikan ayat-ayat Allah berhubung perkara-perkara sami'yat. Beliau jelas sekali menolak tafsir israiliyat dan beliau amat tidak suka kepada ta'wil.

Dalam tulisannya berhubung pentafsiran ayat Allah yang menceritakan tentang "tiupan sangkakala", Syed Qutb dengan tegas menolak sebarang penta'wilan yang datang daripada akal malah menyatakan bahawa perbicangan lanjut tentang bagaimana dan bentuk tiupan itu adalah tidak perlu dan tidak mendatangkan sebarang faedah.

Sebab itu, Ustaz saya di UIA pernah mengklasifikasikan bahawa Syed Qutb ialah " As-Salafiy Al-Mu'tadil". Beliau didalam pentafsirannya menggunakan kaedah yang diguna pakai oleh para salaf yang terdahulu. Antara methodologi pentafsirannya ialah:

1) Mentafsir Al-Quran dengan Al-Quran
2) Menafsir Al-Quran dengan Hadis

kemudian barulah beliau mentafsir dengan Fikiran namun demikian beliau menolak penta'wilan yang menyesatkan.

Kepada para sahabat,

Adalah amat malang bagi kita, apabila dengan pewnuh emosi kita hukum orang lain tanpa kita membuat penilaian yang sewajarnya. Kita menuduh bukan kerana kita mengkaji tetapi atas dasar kata-kata bicara.

Kita mengaku kita mengikut cara ulamak salaf yang sentiasa berijtihad dan tidak betaklid membabi buta. akan tetapi kita sendiri mengamalkan taklid... Apabila datang seseorang menyatakan "Haza Asoh" atau ini yang" paling sahih" terus sahaja kita mengikut atau bertaklid tanpa banyak persoalan. Sepatutnya kita perlu mengkajinya terlebih dahulu. Lebih malang lagi, kalau adapun usaha untuk mengkaji, kita hanya bersandar pada satu aliran pandangan pula.

Contoh yang paling mudah, ada orang mengatakan bahawa hadis tentang qunut subuh adalah lemah lalu dia menyarankan kepada anda untuk menyemak buku Subulus Salam, Buhjatun Nazirin dan Majmu' Fatawa. Ya benar, memang dalam kesemua buku ini menafikan qunut Subuh kerana mereka satu aliran. Barangkali bagi mereka yang dangkal fikirannya pasti akan merasa bhawa mereka telah menemui kebenaran setelah melihat dalil2 yang dikemukakan walaupun pada hakikatnya pengkajian mereka tidak menyeluruh. Kalau anda ingin benar2 mengkaji kenapa tidak baca pula buku Fiqh Manhaji, atupun "Mukhtalaful Hadis" yang dikarang sendiri oleh Imam Assyafie. Disana anda akan mendapati bahawa Imam Assyafie sebenarnya pada dasarnya tidak bersandar kepada hadis dhaif bahkan beliau bersandarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Cukuplah sekadar ini, Wallahualam...

Saturday, November 18, 2006

Nabil Majdi Menulis

BerHubung SMS Isu Pembaptisan di Perak: Antara Benar dan Palsu


Heboh diperkatakan isu sms yang diterima oleh orang ramai berhubung Dr. Azhar Mansor yang bakal memurtadkan sejumlah orang Islam Melayu di Silibin Perak.Sebenarnya tempat ini tidaklah begitu jauh dengan tempat tinggal saya dahulu, jadi mudah bagi saya mengetahui lokasi gereja yang dimaksudkan.

Dalam kebingungan antara benar dan tidak, petang itu saya ambil keputusan untuk pergi ke gereja yang dimaksudkan. Namun demikian suasana nampak tenang. Cuma yang ada ialah sejumlah polis yang ramai berkawal dihadapan gereja tersebut.Hati saya tertanya-tanya.. Ada polis? Mesti ada perhimpunan.. Tapi benarkah sms yang dihantar atau hanya ingin mencetuskan kekacauan.

Bukan apa, saya tidak menerima sebarang maklumat daripada pimpinan PKPIM atau ABIM, jadi risau pula kalu ini propaganda untuk memperalatkan umat Islam agar menimbulkan kekecohan lantas dilabelkan sebagai “terrorist”Keesokannya, dipejabat.. isu ini hangat dibahaskan oleh rakan-rakan disini. Ada yang mendapat sumber dari seseorang Ustaz bahawa perkara ini benar berlaku. Dato’ Azhar Mansur memang telah murtad dan ingin memurtadkan orang Melayu yang lain.

Malah ustaz tersebut turut menegaskan bahawa perkara ini telah disahkan oleh Dato’ Mufti PerakDikatakan juga ramai orang yang datang untuk menghalang upacara pembatisan tersebut. Namun demikian, tiada apa yang berlaku. Mengikut cerita lagi ada pegawai agama Perak yang turun menafikan hal tersebut.Sms yang tersebar ini benar-benar menakutkan dengan mengatakan sejumlah 600 orang pelajar Politeknik Ipoih telah murtad.

Sewajarnya perkara ini mendapat perhatian NGO-NGO islam bagi memastikan kesahihannya. Jika benar, kita tidak sanggup lagi ada Azlina JOY yang baru.Walau apa pun, “moral of the story” semoga kita tidak tertipu oleh sms sehingga menyebabkan kita dipergunakan oleh pihak berkepentingan. Bagi NGO-NGO islam pulak sepatutnya, awal-awal lagi sudah memastikan kebenarannya melalui Dato’ Mufti. Jika benar, maka tindakan perlu diambil, jika tidak benar tindakan perlu juga diambil. Inilah tugas-tugas pendakwah… Menyelamatkan umat….

Lagi Tentang SMS...

Semalam, menerusi berita yang disiarkan di TV3 ternyatalah sms yang dihantar berhubung pembaptisan sejumlah orang melayu di Gereja Silibin adalah palsu. Ini berikutan, sms tersebut jelas mengaitkan Dato Mufti Harussani.

Merujuk kepada sms tersebut, pengirim jelas mengatakan bahawa maklumat tersebut diperolehi daripada Dato' Mufti yang mendedahkannya didalam sessi ceramah di Masjid Negeri pada petang Sabtu sedangkan pada masa tersebut Dato' Mufti berada di Syria.

Malah, yang lebih pelik lagi... ada segelintir penganut kristian turut mendakwa menerima sms yang meminta mereka mempertahankan Dato' Azhar Mansor yang menurutnya dihalang daripada untuk melafaazkan pengakuan menganut kristian oleh sejumlah besar umat Islam dihapan Gereja Silibin. Berikut adalah maklumat yang saya terima dari kiriman email seorang sahabat kepada saya:
“well, much earlier, i.e. around 2.00pm, i hadreceived the sms but it did not mentioned anythingabout the mass conversion of muslims. this was whatthe sms said:police dispersed muslim mob demonstrating outsidesilibin church family day celebration, where guestspeaker datuk azhar mansor, noted malaysian sailor wasgiving his testimony. he is now a catholic and residesin singapore. fr. xxx ask for support of your prayers.please pass on.”“Lebih awal sekitar jam 2 ptg, saya menerima sms, tapitidak menyebut apa-apa mengenai ramai orang Islam akanmasuk Kristian. Berikut ialah smsnya :polis menyuraikan kumpulan orang Islam yangberdemonstrasi di luar gereja silibin yang sedangmengadakan hari keluarga, dimana penceramah jemputandatuk azhar mansor, pelayar terkenal malaysia sedangmemberikan ucapan, dia sekarang katolik dan tinggal disingapura. Dari xxx mohon bantuan doa anda semua. Silasebarkan”

Sms ini dipetik dari laman web :http://lucialai.org/2006/11/05/mob-mentality-again/ .Begitulah bahayanya kalau kita tidak berhati-hati dalam mengambil tindakan. Kita sebagai umat Islam haruslah sentiasa waspada daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak...

Isu SMS - Saya Tertipu

Alhamdulillah, semalam Allah telah membuka mata saya daripada terus tertipu. Sebelum sembahyang Jumaat di Masjid Negeri, saya meninjau dahulu barang yang dijual dihadapan masjid tersebut dan tanpa diduga saya menemukan VCD berhubung ucapan Dato' Mufti berkenaan sejumlah Melayu akan dibaptiskan di Gereja Silibin.Saya rasa terkejut, lalu terus membeli VCD tersebut.

Malam tadi dengan penuh debaran saya mendengar dengan berhati-hati butir kata-kata Dato' Mufti Perak dan saya amat yakin saya tidak salah dengar bahawa Dato' Mufti telah menyatakan kekecewaan terhadap 500 pelajar Politeknik yang telah Murtad.Dalam ucapan ringkas Dato' Mufti di Masjid Negeri pada petang Sabtu5hb/11/06, beliau telah mendapat maklumat bahawa Dato' Azhar Mansor akan datang ke Gereja Silibin untuk membaptiskan sejumlah orang Melayu.

Namun yang mengecewakan beliau ialah apakah tindakan yang telah kita ambil untuk menghalang semua perkara ini berlaku.Menurut Dato' Mufti lagi, ada pemuda PAS yang datang padanya mencadangkan agar dibuat demontrasi tapi Doto' Mufti menyifatkan tindakan tersebut sebagai tindakan bodoh kerana kita hanya akan menyebabkan golongan Islam terdedah kepada fitnah.

Berdasarkan apa yang di ucapkan oleh Dato' Mufti ada beberapa perbezaan fakta yang patut diberikan perhatian.

Pertama: Jumlah sebenar Pelajar Politeknik yang Murtad ialah 500 orang bukan 600 seperti yang didakwa. Kedua: Dato' Mufti bukan mendengar sendiri dari Dato' Azhar Mansor sebaliknya maklumat diperolehi daripada rakan Dato' Azhar Mansor yang hadir ke rumah Dato' Mufti untuk beraya. Ketiga: Dato' Mufti telah melarang daripada mengadakan demontrasi yang pada pandangannya tidak membantu.
Jumlah orang yang murtad bukanlah suatu isu, kerana kalau ada seoarang pun yang murtad itu sudah cukup mendesak kita untuk melakukan perubahan. Akan tetapi yang menjadi isu adakah betul tindakan kita mengadakan demontrasi untuk membetulkan aqidah umat Islam. Apa yang jadi betulnya dengan kita melaungkan kata-kata amarah.Maaf kalau ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya. Tetapi saya amat menyokong pendirian Dato' Mufti.

Murtad adalah masalah aqidah yang melibatkan kepercayaan. Kepercayaan seseorang tidak boleh berubah melalui demontrasi sebaliknya dakwah sahajalah jalan untuk mengembalikan mereka yang murtad ke jalan yang benar.Mengapa tidak kita kumpulkan beberapa pemuda yang berilmu dalam "Usuludin dan Ilmu Perbandingan Agama" untuk berdakwah secara proaktif.
Saya yakin berdakwahla jawapannya untuk menyelesaikan masalah ini. Kita perlu berdakwah kepada seluruh masyarakat Melayu agar kukuh iman dan kepada semua masyarakat bukan Islam agar mereka beriman. Sesungguhnya sudah puluhan tahun lamanya kita telah bergaul dengan golongan bukan Islam di Malaysi tetapi malangnya sedikit sahaja, yang menyedari kepentingan berdakwah kepada golongan bukan Islam di Malaysia. Wallahualam, fikir-fikirkanlah..

Wednesday, November 08, 2006

Nabil Majdi Menulis

BILA ISLAM AKAN GAH..???

Inilah persoalan yang bermain dibenak pemikiran… bilakah tarikh untuk Islam akan bangkit menjadi peneraju tamadun dunia seperti waktu dulu. Apabila membaca buku Dr. Yusof Al-Qardhawi bertajuk “Islam Hadharatul Ghad” atau dalam bahasa Melayunya “Islam Tamadun akan datang” maka yakinlah aku bahawa dunia masa akan datang adalah milik Islam.

Islam adalah tamadun yang terbaik sebagai ganti tamadun keduniaan yang banyak merosakkan. Pendekatan barat yang mengabaikan soal kerohanian melalui pengangan sekularisme telah menyebabkan manusia kehilangan arah dalam memahami tujuan hidup mereka.

Tamadun barat adalah atamadun yang kosong dari nilai budi yang akhirnya merebakkan pelbagai penyakit social didalam masyarakat. Kehadiran penyakit social yang kronik adalah petanda kehancuran sesebuah tamadun sepertimana yang dinyatakan didalam buku Al-Muqaddimah karangan “Ibn Khaldun”Justeru, Dr Yusof Al-Qardhawi menyatakan bahawa kehancuran dan kekecewaan terhadap Tamadun Barat akan menyebabkan Islam menjadi semakin relevan sebagai Tamadun yang lebih baik bagi umat manusia.

Kehadiran Tamadun Islam sebagai alternatif bukanlah menolak segala kemodenan yang dibawa oleh Tamdun Barat. Sebaliknya Islam bersifat neutral terhadap pembangunan material yang diasaskan oleh Tamadun Barat.Apa yang ingin dibawa oleh Islam hanyalah, mengharmonikan diantara aspek pembangunan rohani dan material agar seirng.

Tamadun yang ingin dibentuk ialah Tamadun yang mencapai tahap pembangunan yang tinggi disamping tunduk patuh kepada “Rabb Al-Jalil” sebagai Pencipta. Dalam erti kata lain, dalam Tamadun Islam kemodenan tidak mengalpakan manusia terhadap tuhan malah mendekatkan diri manusia kepada Tuhan.

Namun demikian, bilakah Islam akan Gah??? Adakah selepas barat jatuh baru Islam akan naik atau kita boleh naik tanpa perlu menanti kejatuhan Tamadun Barat yang tidak tahu bila bakal terjadi.Sebenarnya Umat Islam boleh membina tamadun Islam kembali tanpa perlu mengharap kejatuhan Tamadun Barat. Mengapa perlu dinanti pada kelemahan orang lain? Apakah kita sebagai umat Islam tidak mampu untuk bangkit dengan menonjolkan kekuatan kita bukan mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang lain? Mengapa tidak kita berdiri diatas kaki kita sendiri?Saban waktu kita sekadar mendoakan kehancuran tamadun barat tanpa berusaha membangunkan Tamadun Islam.

Lihat sahajalah betapa umat Islam berpecah belah dalam menetapkaan isu. Dalam peperangan terhadap Iraq contohnya, Negara-negara umat Islam betelagah menentukan tindakan yang perlu diambil.Sebenarnya, segala isu boleh ditangani dengan mudah kalau umat Islam bersatu. Seorang cendekiawan kristian berbangsa Palestin menyatakan kalau seluruh penduduk arab bersatu dan “mengaum” pasti akan takutlah musuh-musuh yang ingin mengambil kesempatan.

Akan tetapi, sayang seribu kali sayang.. kita bukan sekadar berpecah kita turut meninggalkan ajaran Islam. Banyak sekali yang kita langgar sehingga kita menjadi seperti orang yang tidak beragama.Kesimpulannya, selagi Islam tidak dibangunkan didalam hati kita jangan dicita “Tamadun Islam Peneraju Dunia”

Tuesday, November 07, 2006

Zaiman Mansor Menulis

KITA HARUS BERUSAHA MEMBELA AGAMA INI

Rangkaian di antara langit dan bumi terbina dan terjalin demi menunaikan risalah suci dari Allah ta'ala disaat memerlukan hidayat dan petunjuk demi untuk segenap umat manusia.Hukum dan peraturan alam yang tiada berubah,oleh kejadian tersebut ditembus menurut jalan yang ditentukan oleh Allah ta'ala.tidak ada sebab sesuatu di dalam semesta ini yang terjadi tanpa melalui sebab dan tanpa tujuan atau maksud.

Kelahiran islam, peristiwa besar yang pernah disaksikan oleh dunia tidak boleh tidak pasti mempunyai sebab-sebab yang menjadi pendorongnya, pasti mempunyai matlamat yang telah digariskan oleh Allah ta'ala dan sudah pastilah mempunyai tujuan yang harus dipersiap sediakan dan sentiasa dinanti-nantikan. Allah ta'ala telah menyempurna-kan risalah suci-Nya kepada umat manusia dengan islam.

Perutusan Nabi Muhammad sallahua'laihiwassalam sebagai pesuruh-Nya melengkapkan lagi kesempurnaan terhadap risalah ini.Kita tidak perlu menunggu perlu adanya hubungan baru di antara langit dan bumi demi membersihkan risalah suci ini yang sudah dikotori oleh syirik, kesesatan dan kerosakan.Terus berusaha menyampaikan risalah inikita juga tidak perlu menunggu-nunggu adanya Nabi baru yang akan membawa risalah baru setelah datangnya Nabi dan Rasul pembawa agama suci ini.

Kita juga tidak mengharapkan adanya Al-Quran baru yang akan membimbing umat manusia yang sedang kebingungan ke arah mana jalan dan hidayat. ini kerana, kita sudah ada kitab suci dari Allah ta'ala yang menjamin pengikutnya tidak sesat dan telah pula menetap syariat yang menjamin perlaksanaanya tidak tercela.Apa yang harus kita perbuat dewasa ini ialah, kita bersama seluruh dunia harus keluar meninggalkan kejahiliyahan yang sedang mengepung kita dari segala jurusan. iaitu dengan jalan mengembalikan kepercayaan kepada agama kita, sehingga kembali menjadi dasar kehidupan kita di segala bidang.

Kita tidak dapat meminta orang lain supaya mempercayai kebenaran agama kita, selama mana kita sendiri belum benar-benar mempercayai kesempurnaannya terlebih dahulu. Sebab keimanan hanya dapat disebarluaskan dengan teladan yang kita berikan kepada semua orang.Oleh sebab itu sahabat-sahabat sekalian, di atas dasar tuntutan kepada dakwah islamiyyah ini marilah sama-sama memperkukuhkan kekuatan daan persaudaraan yang ada ini, demi memastikan akan kesinambungan dan perlaksanaan kepada kesempurnaan risalah yang suci ini, demi memastikan risalah ini akan terus tersebar luas.

wallahua'lam.wassalam...,

Wednesday, November 01, 2006

Pengumuman

Assalamu'alaikum,

Kepada sahabat-sahabat SISMA sekalian, di sini insyaAllah kita akan mempertautkan ukhuwwah yang sekian lama terjalin ini walaupun dalam keadaan sibuk yang amat sangat agar tautan ini semakin kuat. Mungkin dengan keadaan ini amat sukar untuk kita yang baru sahaja menghabiskan pengajiaan masing-masing untuk kembali berhubung.

Oleh itu di minta untuk rakan-rakan yang mempunyai blog sendiri agar meninggalkan alamat blog masing-masing di ruang blog SISMA ini. Kepada yang tidak mempunyai blog, boleh la menghubungi saudara Nabil Majdi @ Zaiman untuk mendapat alamat perhubungan yang terbaru.

"Bersama kembalikan kegemilangan Islam"

wallahua'lam

Tuesday, October 31, 2006

Selamat Hari Raya 1427H

Assalammualaikum,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Selamat Menyambut Hari Raya… Hari Raya bagi umat Islam merupakan perayaan ibadah yang disyariatkan. Saban tahun kita menyambut hari raya selepas pemergian Ramadhan namun berapa kalikah Raya kita menjadi ibadah.Raya bagaikan sudah menjadi adat. Biarlah Syawal kali ini menjadi muhasabah kepada kita.

Berusahalah kita bersama-sama membersihkan hati.Menyucikan hati dari segala sifat mazmumah adalah yang paling susah sekali. Namun menurut Imam Al-Ghazali, hati boleh ditundukkan melalui latihan. Hati dan Nafsu perlu dilatih tidak boleh dimanjakan sangat kelak menguasai diri.

Memandangkan kita sudah menghampiri akhir tahun 2006, buat pengetahuan kawan- kawan SISMA, “gathering” kita tahun depan akan dilaksanakan pada Mei 2007, Jangan lupa ye.. Disana kita akan bincangkan soal penubunuhan KPU (Kompleks Pembangunan Ummah)

InsyaAllah dalam tempoh yang terdekat ini saya akan siarkan dalam blog ini maklumat berkenaan KPU untuk maklumat rakan-rakan. Selamt Berjuang Rakan-Rakan… Berjuanglah demi mendapatkan keredhaan Allah… Tentangilah Syaitan dan Nafsu Sepenuh Hati… Wassalam

Nabil Majdi Arip


Image hosting by Photobucket
::Siswazah Muda Abim (SISMA)::

Pengenalan


"SISMA @ Siswazah Muda ABIM ditubuhkan pada 26 Februari 2005. Badan dakwah ini ditubuhkan atas inisiatif pelajar tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang merupakan ahli PKPIM dan bekas pimpinan PKPIM kampus.Badan ini ditubuhkan di atas nama pelajar-pelajar islam di dalam meneruskan pejuangan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menjadi penongak kepada kebangkitan Islam"

Menggamit Memori


Photobucket - Video and Image Hosting


Photobucket - Video and Image Hosting


Photobucket - Video and Image Hosting


Photobucket - Video and Image Hosting


Photobucket - Video and Image Hosting

Last posts

Blog Ahli SISMA

Jaringan

Nasyid


- SELAMAT BERJUANG -
Wahai Sahabat-sahabat SISMA

Sembang